Isnin, 28 Februari 2011

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor siswazah menganggur dan kesannya kepada negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kajian yang dijalankan oleh Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM) baru-baru ini mendapati bahawa peratus pengangguran di kalangan siswazah semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia telah menganjurkan Pesta Kerjaya untuk siswazah menganggur pada 7 April 2005. Pesta tersebut memberi peluang kepada siswazah untuk mendapatkan pekerjaan terutama dalam sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Kebanyakan siswazah tidak memahami prospek pekerjaan yang dipohon sehingga menyebabkan mereka gagal dalam temu duga. Sering kali juga diuar-uarkan oleh banyak pihak bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan siswazah menyebabkan mereka gagal mendapatkan pekerjaan. Menurut kajian yang dilakukan terhadap 3300 orang pengurus sumber manusia pelbagai syarikat di Malaysia mendapati 56 peratus siswazah yang datang temu duga di syarikat mereka lemah berbahasa Inggeris. Faktor ini ada rasionalnya memandangkan pekerjaan di sektor swasta memerlukan pengetahuan bahasa Inggeris yang tinggi kerana mereka berurusan dengan syarikat antarabangsa. Selain itu, kira-kira 26 peratus siswazah ini dikatakan tidak berketerampilan dan memiliki personaliti yang kurang menarik, manakala 32 peratus mendapati kebanyakan siswazah mengharapkan gaji serta ganjaran yang lumayan.

Jelas bahawa bahasa Inggeris diletakkan sebagai asas yang penting oleh majikan dalam menemu duga seseorang calon bagi sesuatu jawatan. Namun, Sistem Pendidikan Kebangsaan yang dibina sejak merdeka dahulu meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Ketidaksamaan antara dasar pendidikan dengan dasar majikan ini menimbulkan masalah pengangguran yang cukup membingungkan. Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris penting sebagai bahasa komunikasi antarabangsa, tetapi kelemahan kemahiran berkomunikasi merupakan satu lagi faktor yang perlu diteliti. Hakikatnya, siswazah di negara ini bukan sahaja lemah penguasaan bahasa Inggeris malah tidak mempunyai keyakinan diri apabila berkomunikasi dengan khalayak. Terdapat juga faktor lain seperti mobiliti kerana siswazah masih terikat dengan tempat kelahiran dan tidak mahu keluar mencari kerja di tempat lain.

Siswazah seharusnya merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi menumpukan penyediaan kemahiran yang lebih tinggi selain mendedahkan siswazah kepada suasana dunia pekerjaan. Penglibatan siswazah dalam sesuatu sektor ekonomi juga harus dikembangkan. Usaha lain yang dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah adalah dengan mempelbagaikan kegiatan kokurikulum di institusi pengajian tinggi (IPT). Kegiatan kokurikulum merupakan pemangkin untuk siswazah meningkatkan motivasi selepas mereka tamat belajar.

Kesimpulannya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik tidak dinafikan merupakan aset yang penting bagi seseorang siswazah apabila melangkah ke dunia pekerjaan, tetapi faktor kemahiran komunikasi tidak wajar dikesampingkan. Biar siapa pun diri kita yang penting ialah perlunya berkomunikasi.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana: Mengapakan Siswazah
Menganggur, oleh Puteri Roslinda Abdul Wahid,
Dewan Masyarakat,Julai 2005)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan