Isnin, 28 Februari 2011

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang Punca-punca berlakunya kemalangan di negara kita dan langkah-langkah untuk menanganinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Berjuta-juta ringgit sudah dibelanjakan oleh kerajaan dan pihak swasta untuk melaksanakan kempen keselamatan jalan raya yang berterusan dari semasa ke semasa. Sungguhpun demikian, impak yang diharapkan daripada kempen ini masih pada tahap yang membimbangkan kita. Jalan raya di negara kita masih terus menjadi medan maut. Selain berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk menjayakan kempen keselamatan jalan raya, berbilion-bilion ringgit pula dihabiskan untuk membaiki jalan raya dan membina lebuh raya baru di seluruh negara. Malangnya, kecanggihan jalan raya dan lebuh raya yang disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia ini tidak dapat mengurangkan kadar kemalangan, sebaliknya meningkatkan kadar tersebut, malah jumlahnya dikatakan sebagai antara yang tertinggi di dunia.

Sehubungan dengan masalah tersebut, ada yang menyalahkan pihak penguat kuasa kerana mereka dikatakan tidak bertindak tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang. Banyak pesalah jalan raya yang dilepaskan begitu saja, malah jika dibawa ke muka pengadilan pun, kes seumpama itu mengambil masa yang lama untuk dibicarakan dan dijatuhkan hukuman. Sesetengah pihak pula memberikan alas an pertambahan kenderaan di jalan raya sebagai punca berlakunya kemalangan di negara kita, khususnya di Bandar-bandar besar dan ketika menjelang musim perayaan. Hakikatnya, jalan raya yang lurus tentu sekali tidak berbahaya jika para pemandu memandu dengan kelajuan yang dihadkan dan mematuhi segala peraturan lalu lintas. Yang terjadi sekarang ialah para pemandu memandu mengikut perasaan, yakni memandu pada kelajuan yang melebihi had laju pemanduan di jalan biasa atau di lebuh raya. Sesetengah pemandu pula begitu berani memotong kenderaan lain di tempat-tempat berbahaya seperti di selekoh dan di kawasan berbukit.

Dalam kalangan penunggang motosikal pula, mereka menganggap jalan raya sebagai tempat berlumba dan menguji kehebatan masing-masing. Mereka yang begitu angkuh dan berlagak sebagai samseng jalan raya memecut di celah-celah kenderaan lain, memotong kenderaan lain setibanya di selekoh tajam, dan sewenang-wenangnya melanggar lampu isyarat. Punca seterusnya ialah sikap pemandu yang memperlekeh peraturan-peraturan keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan.

Kecuaian pengguna jalan yang lain juga boleh mengakibatkan kemalangan, termasuklah membawa muatan yang berlebihan, tidak memeriksa tahap keselamatan kenderaan terlebih dahulu sebelum menggunakannya, dan memandu dalam keadaan mabuk atau mengantuk.

Kedegilan pengguna jalan raya dengan melakukan kesalahan yang berterusan membuktikan bahawa tahap kesedaran mereka tentang pentingnya mematuhi setiap peraturan keselamatan jalan raya masih rendah. Sewajarnya, mereka peka terhadap peningkatan kemalangan jalan raya serta kematian yang berpunca daripadanya setiap tahun. Pada minggu pertama bulan Februari 2005 saja, jumlah kemalangan yang dicacat menerusi Ops Sikap V11 melebihi 6000 kes dengan 103 kematian. Jika kempen yang dijalankan selama ini gagal mengurangkan kadar kemalangan , maka cara yang berkesan wajar diambil untuk menanganinya.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana pengarang, Berita Harian, Februari 2005)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan